Menu:

 

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH

            Sekolah Kebangsaan Nanga Bawai telah ditubuhkan pada tahun 1986 dan dirasmikan pada tahun 1987 oleh Yang Berhormat Dato’ James Jemut Masing. Sekolah ini dibina di atas bekas tanah milik Tuai Rumah Nabau dan terletak 20 kilometer dari Pekan Kapit

            Sekolah ini diberi nama Nanga Bawai kerana ia terletak bertentangan dengan muara Sungai Bawai. Guru besar pertama yang menjalankan tugasnya di Sk Nanga Bawai ialah Cikgu Kaso Linang dan diikuti 2 orang guru (Cikgu Jabang dan Cikgu Sim) serta seorang tukang masak (Puan Lemok Mabong).

            Ketika itu, hanya terdapat sebuah blok kelas yang merangkumi kelas tahun 1 dan tahun 2, sebuah bilik guru, 4 unit rumah guru dan staf serta dapur. Kebanyakan bangunan ini dibina menggunakan papan dan kayu. Bilangan murid hanya seramai 44 orang yang terdiri daripada anak-anak petani dari rumah panjang yang berdekatan seperti Rumah Nabau, Rumah Japong, Rumah Sigan, Rumah Ukau dan Nanga Spako.

            Selepas 13 tahun, satu projek pembinaan bangunan baru sekolah telah dijalankan. Pada ketika itu sekolah ini telah diambil alih oleh Mendiang Cikgu Douglas Renang dan ketika itu juga bilangan guru dan staf telah mencecah 17 orang. Bilangan murid juga bertambah sehingga 147 orang.

            Pada tahun 1998, Cikgu Douglas Renang telah meninggal dunia. Maka jawatan guru besar telah diambil alih oleh Cikgu Taib yang pada masa itu memegang jawatan Penolong Kanan 1. Setahun kemudian, Cikgu Hii Hua Chai telah mengambil alih jawatan Guru Besar dan menjawat jawatan sehingga sekarang.

            Pada masa sekarang terdapat 207 orng murid dan 17 orang guru serta 9 orang kakitangan sekolah yang bertugas di sekolah ini.